Alhamdulillah berpeluang berbuka puasa di kampung husband dan juga kampung sendiri bulan ramadhan tahun ni. Tak dapat berbuka bersama keluarga selalu, dapat berbuka sekali pun dah memadai. Sekurang-kurangnya mak abah seronok bila anak-anak balik berbuka bersama. Kalau tak sunyi sepi berbuka berdua je.
Bila berbuka di kampung, terasa meriahnya macam zaman kanak-kanak dulu. Meriah ramai-ramai dan meriah juga denganhidangan bermacam-macam jenis lauk-pauk. Cuma bezanya zaman dulu, emak yang masakkan, zaman sekarang dah boleh masak untuk mereka pula. Tapi sesekali wajib ada menu masakan air tangan mak sendiri.
Lauk Kampung Yang Sedap-Sedap
Balik kampung kalau tak makan makanan kampung memang tak syok. Paling best sambal belacan campur dengan asam belimbing. Memang boleh buat bertambah nasi. Sayur-sayur pun main petik je kat belakang rumah macam pucuk ubi, kacang botol dan lain-lain boleh buat ulam je makan dengan sambal belacan. Masakan utama yang biasa mak Fiza masak, masak lemak cili api. Biasanya mak akan masak ikan sungai bukan ikan laut macam kat bandar. Sedap betul makan ikan sungai fresh beli dari orang kampung atau beli kat pasar segar.
Bertukar Hidangan Sesama Jiran
Adat dan tradisi di kampung ni jauh beza dengan bandar. Kalau di bandar jarang sangat atau memang takda bertukar hidangan menu berbuka puasa sesama jiran. Jiran pun ada kalanya tak berapa nak mesra sangat. Masing-masing buat hal sendiri. Kalau di kampung, jiran memang dah kenal lama dan wajib hari-hari bertukar menu berbuka. Seronok dapat berkongsi rezeki bersama jiran.
Kuih Muih Tradisional Yang Sedap Dan Murah
Duduk di kampung, tak perlu jauh-jauh pergi Bazaar Ramadhan di bandar sebab orang kampung ada yang meniaga kuih muih tradisional yang sedap-sedap. Harga pun murah. Memang berbaloi beli dan rugi kalau tak beli. Terutamanya pulut panggang johor iaitu pulut dengan inti sambal tumis. Kalau di bandar, susah nak jumpa pulut panggang dengan sambal tumis ni. Karipap yang dijual pun inti dia memang sedap sejak zaman kanak-kanak dulu. Tak pernah tak sedap. Of course tak kedekut inti.