Kehilangan Pesawat MAS MH370 yang menjadi tanda tanya kemanakah hilangnya. Pesawat Penerbangan MAS MH370 yang sedang dalam perjalanan dari Malaysia ke Beijing awal pagi Sabtu telah mendapat liputan meluas pelbagai agensi berita antarabangsa dan dunia.
Kisah kehilangan pesawat MAS MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu telah mendapat liputan meluas, termasuklah portal berita nombor satu dunia, The Mail Online sebagai berita utama "Fears 239 may have died in air crash as Boeing 777 mysteriously vanishes over Vietnam two hours after taking off from Malaysia" Portal itu membuat laporan dari pelbagai sudut termasuk mendapatkan pandangan beberapa pakar penerbangan dan pesawat.
Menurut The Mail Online, jika benarlah pesawat itu hilang, ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor.Ini termasuklah malapetaka kegagalan enjin, juruterbang cuba mengelak pesawat berkenaan daripada bertembung dengan pesawat lain atau pun mungkin juga disebabkan oleh letupan.
Menurut portal berita itu lagi, pesawat MAS MH370 itu tidak mengeluarkan isyarat kecemasan sejurus sebelum ia dilaporkan hilang dari radar.Jika ini benar, ia memberi indikasi yang pesawat itu ditimpa malapetaka tanpa sempat memberi amaran atau isyarat kecemasan.
Untuk jarak penerbangan dari Kuala Lumpur-Beijing, kata portal berita itu lagi, pesawat berkenaan mempunyai bahan api yang memadai untuk bertahan tujuh jam di udara tanpa mengisi semula.Tetapi memandangkan ia masih belum ditemui sehingga kini, logik menyatakan yang ia sudah pasti kehabisan bahan api jika tidak mendarat sekarang.
Agensi berita China, Xinhua melaporkan yang pesawat itu disahkan hilang sebelum ia sempat memasuki ruang udara China.Ia membawa 153 orang penumpang warga China.
Sementara itu portal berita BBC World turut melaporkan tragedi ini sebagai berita utama mereka.Dengan tajuk 'Contact lost with Malaysia Air plane' BBC turut memaparkan laporan sidang akhbar Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya berhubung kejadian itu dan juga laporan wartawan mereka secara langsung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.
BBC juga memetik Perdana Menteri China, Li Keqiang sebagai berkata yang beliau telah mengarahkan pihak berkuasa China untuk memulakan prosedur kecemasan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan Vietnam dalam usaha mencari dan menyelamat.
Sementara itu koresponden BBC di Beijing, John Sudworth melaporkan yang jadual ketibaan pesawat MH370 itu telahpun dikeluarkan dari senarai papan tanda elektronik Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing selepas ia memaparkan status 'Tergendala' sejak beberapa jam yang lalu.
Sebuah lagi portal berita popular Britain, The Guardian (www.theguardian.com) turut menjadikan berita kehilangan pesawat MAS itu sebagai berita utamanya dengan judul 'Malaysia Airlines lose contact with plane – live'.Malah portal berita ini membuat kemaskini secara langsung dari Beijing dan juga Malaysia.
Boleh lihat video kehilangan MAS MH370 dari radar.